Isnin, 15 Oktober 2012

Split Personality Disorder


Ingatkah anda pada sebuah novel fiksyen berjudul Strange Case of Dr. Jekyll and Mr. Hyde? Ya, novel yang ditulis oleh Robert Louis Stevenson dan diterbitkan di United Kingdom pada 1886. Ia adalah sebuah novel masterpiece mengenai seorang doktor bernama Dr. Jekyll yang tubuhnya dihuni oleh `seorang’ lagi personaliti pembunuh bernama Mr. Hyde. Mr. Hyde muncul selepas Dr. Jekyll meminum bahan kimia uji kajinya.

Novel berkenaan adalah sebuah fiksyen Split personality (Personaliti berpecah), iaitu seorang manusia yang mempunyai dua personaliti berbeza, baik dan jahat. Ertinya, pada satu masa, Dr. Jekyll hidup sebagai manusia yang baik dan suka membantu masyarakat, tetapi pada masa yang lain, watak Mr. Hyde pula menguasai dirinya. Jekyll akhirnya tidak mampu mengawal Mr. Hyde lagi, sampailah `si pembunuh’ itu membunuh dirinya sendiri.

Dari sudut perubatan jiwa, Split personality disebut juga Dissociative identity disorder (kecelaruan jati diri/identiti disociatif – DID). Split personality atau DID ini adalah sejenis masalah psikiatrik yang menyebabkan seseorang individu itu menampilkan satu lagi atau lebih personaliti (alte ego) dalam dirinya. Personaliti itu muncul akibat individu berkenaan berada dalam keadaan tertekan. Ketika itulah, semasa dia dalam keadaan seperti bermimpi dan separuh sedar, watak/personaliti berkenaan muncul dan melakukan apa yang dikehendakinya.

Individu terbabit tidak menyedari apa yang berlaku. Mereka hanya sedar selepas alte ego terbabit `pergi’, tekanannya berakhir, dan identiti/personaliti asalnya kembali ke dalam diri.

Satu lagi masalah psikiatrik/jiwa yang hampir serupa dengan Split personality adalah Multiple Personality Disorder (Kecelaruan personaliti berganda –MPD). Berbeza dengan Split personality, MPD berlaku terhadap seseorang individu yang terlampau trauma akibat penderaan fizikal, emosi serta seksual yang dialami pada zaman kecilnya.

Trauma keterlaluan itu membuatkan individu berkenaan mencipta personaliti-personaliti tertentu berdasarkan umur-umur tertentu. Antara contoh klasik penghidap MPD ini ialah seorang wanita Chicago, Amerika Syarikat (AS) bernama Karen Overhill. Ketika usianya baru 29 tahun, Karen mempunyai 17 personaliti lain di dalam dirinya. Personaliti-personaliti itu berusia dua hingga 34 tahun, lelaki dan wanita, kulit putih dan hitam, serta berbagai watak, kebolehan, hobi dan pekerjaan.

Apabila tertekan, personaliti-personaliti berbeza itu akan menguasai dirinya dan Karen tidak sedar apa yang berlaku. Ketika itulah Karen bertindak mengikut sifat personaliti-personaliti terbabit. Setiap personaliti itu pula mempunyai sifat dan watak mereka yang berbeza antara satu sama lain. Doktor terpaksa mengambil masa selama 20 tahun untuk merawatnya.

Satu lagi contoh ialah seorang perogol bersiri di Ohio, AS, bernama Billy Milligan. Akibat semasa kecilnya sering didera secara seksual oleh bapa tirinya, Billy hidup dalam keadaan trauma. Keadaan jiwa yang bercelaru serta trauma itu menyebabkan Billy mencipta sekurang-kurangnya 22 personaliti lain di dalam dirinya bagi menangani tekanan tersebut.

Antara personaliti-personaliti halusinasinya itu ialah pelukis bernama Tommy yang baru berusia 16 tahun, remaja lelaki berusia 14 tahun bernama David, lelaki Inggeris berusia 22 tahun bernama Arthur yang mampu bertutur bahasa Arab dengan lancar, pencuri Serb-Croat bernama Regan dan gadis lesbian berusia 19 tahun bernama Adalana.

Personaliti-personaliti seperti Phil, Kevin, Walter serta April pula adalah `personaliti halusinasinya’ yang bertanggung jawab melakukan jenayah seperti mencuri, rogol, mendera serta membunuh, hinggalah dia ditahan polis pada 1978 dan kemudian dimasukkan ke hospital mental.

Di atas tadi adalah contoh-contoh tulen mereka yang menghidap Split personality dan MPD. Tetapi, ada juga manusia yang berpura-pura menghidap gejala tersebut untuk menutup segala kejahatan, kezaliman dan jenayah yang dilakukannya. Salah seorang daripada mereka ialah John Wayne Gacy.

Pada siang hari, Gacy menampilkan dirinya sebagai anggota masyarakat kelas menengah yang sopan, suka tersenyum serta peramah. Beliau adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya, juga pengurus cawangan restoran Kentucky Fried Chicken di Waterloo, Iowa. Kepada penduduk sekitar, Gacy merupakan contoh lelaki yang dihormati dan berhemah. Gacy juga disayangi kerana sering menjalankan kerja-kerja sukarela serta menghiburkan kanak-kanak yang terlantar di hospital dengan pakaian badutnya.

Tetapi pada malamnya, Gacy adalah Mr. Hyde si raksasa pembunuh. Dia memikat budak-budak lelaki, kemudian meliwat serta membunuh mereka. Jenayah yang dilakukan itu akhirnya memakan diri dan Gacy dipenjarakan. Setelah dibebaskan 18 bulan kemudian, Gacy berkahwin, mempunyai anak dan aktif dalam bidang politik pula. Dia dianggap antara bintang muda politik yang mempunyai karisma tersendiri.

Bagaimanapun, itu semua pura-pura sahaja. Di sebalik perwatakannya yang ramah, sopan serta suka membantu, Gacy sebenarnya adalah penjenayah merbahaya. Seorang demi seorang lelaki dan wanita dijadikannya mangsa, diliwat, dirogol, kemudian dibunuh dengan kejam.

Apabila ditangkap pada 1978, polis menemui hampir 30 mayat di dalam bilik rahsia dan juga sekitar rumahnya. Sewaktu dibicarakan di mahkamah, Gacy memberitahu hakim bahawa dia menghidap Split personality. Kata Gacy, semua kes penderaan dan pembunuhan yang dihadapkan kepadanya itu sebenarnya dilakukan oleh Jack, personaliti yang sering menguasai dirinya.

Bagaimanapun, mahkamah dan para doktor tahu, itu cuma helah dan temberang Gacy saja, untuk melepaskan dirinya.  Pada 1984, Gacy si lelaki peramah, suka membantu dan mempunyai karisma dalam bidang politik itu akhirnya mati selepas menjalani hukuman suntikan beracun.

Pembaca sekalian, sebenarnya ramai lagi penjenayah yang cuba menipu dengan mengatakan diri mereka menghidap Split personality. Antaranya ialah William Heirens yang digelar Pembunuh Gincu, yang mendakwa semua tuduhan bunuh yang dihadapkan kepadanya sebenarnya dilakukan oleh alte agonya yang bernama George Murman.

Ted Bundy, pembunuh bersiri yang dihukum mati di kerusi elektrik adalah satu lagi contoh Dr. Jekyll dan Mr. Hyde yang paling klasik. Lelaki ini mempunyai penampilan diri yang menarik, sopan dan terpelajar. Tiada siapa menyangka, bekas penuntut University of Utah dalam jurusan undang-undang dan menjadi bintang baru untuk Parti Republikan itu sebenarnya telah membunuh hampir 100 orang mangsa!

Ringkasnya di sini, individu yang mempunyai masalah Split personality dan Multiple personality Disorder adalah individu yang merbahaya. Watak serta personaliti mereka boleh bertukar dalam sekelip mata, mengikut keadaan dan kehendak mereka.

Paling merbahaya lagi adalah manusia yang tidak menghidap Split personality atau MPD, tetapi berwatak seperti orang yang menghidap kecelaruan psikiatrik tersebut. Mereka ini bijak berpura-pura dan berlakon. Ada waktunya, mereka mempamerkan diri sebagai orang yang baik, tetapi pada waktu yang lain, mereka bertindak sebagai manusia  kotor.

Pada suatu ketika, individu yang mempunyai sifat Split personality dan MPD ini berlakon sebagai seorang yang jujur, ikhlas serta tulus, tetapi pada waktu yang berbeza, di persekitaran yang berbeza dan ketika berada di hadapan kelompok yang berbeza, mereka bertukar watak menjadi manusia hipokrit, khianat serta pembohong.

Manusia ini juga kalau memerlukan dirinya berlagak alim, mereka mampu melakukannya dengan baik sekali. Mereka akan tampil dengan watak zuhud, takutkan Ilahi dan memetik ayat-ayat al-Quran serta hadis dengan fasih sekali. Mereka boleh berdiri sebagai imam dan memberi tazkirah dengan tawaduk.

Tetapi keluar sahaja dari premis ibadat, mereka boleh menukar watak kepada individu yang seolah-olah tidak beragama. Mereka melakukan maksiat, rasuah dan berseronok-seronok seperti semalam ketika mereka menjadi manusia warak, tidak pernah berlaku dan tuhan itu tidak wujud sama sekali.

Individu yang bersifat seperti manusia Split personality ini sangat bijak memainkan perasaan orang. Mereka mampu menguasai jiwa dan psikologi manusia lain melalui kebolehan bertutur serta bahasa badan yang memukau. Mereka juga mampu memanipulasi keadaan dan bijak pula melepaskan diri dengan licik.

Manusia yang bersifat seperti penghidap Split personality dan MPD ini memang berbahaya. Lebih berbahaya lagi kalau mereka menjadi ahli politik kerana ahli politik seperti ini sanggup melakukan apa sahaja. Siang hari, mereka akan menuturkan kata-kata tulus, jujur dan sanggup berkorban demi agama, bangsa dan negara. Tetapi pada malam hari, mereka bertukar menjadi manusia hipokrit yang sanggup menggadai dan menjual agama, bangsa dan negara demi mencapai cita-cita politiknya.

Tolong jauhi ahli politik Split personality dan MPD ini. Mereka bijak menipu dan memangsakan orang lain, hatta terhadap orang-orang yang menyayangi diri mereka sendiri. Awas, ahli politik jenis ini adalah Dr. Jekyll dan Mr. Hyde yang sebenar-benarnya.





Sumber rujukan:  Ma'rof Redzuan, Haslinda Abdullah(2008)Psikologi, Universiti Putra Malaysia


# Jangan fikir boleh menipu manusia lain selamanya. Namun jika benar berubat la....Moga kekawan dapat manfaat daripada bingkisan ini >_<




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pertama kali memasak

  Aku menulis dengan rasa sedih, aku menulis dengan rasa hiba..... 'masa kecilku' Aku anak ke-4 dari 6 adik-beradik. Keluarga aku bu...