Ramai muslimah, terutamanya anak-anak gadis era internet menghadapi kes perceraian yang amat tinggi dan masalah rumahtangga. Punca perceraian no. 1 yang tertulis di dalam borang permohonan cerai di mahkamah Syariah ialah 'TIADA PERSEFAHAMAN'.
Kenapa tiada persefahaman ?
Aljawab, selagi tidak tinggal sebumbung, sekatil dan serumah maka amat susah dan mustahil bagi kita untuk mengenal peribadi seseorang apakah dia serasi atau tidak untuk menjadi pasangan kita.
Namun setelah tinggal bersama barulah mendapati suami tidak serasi dengan kita atau suami tidak memahami perasaan kita, suami tidak romantik, suami tidak seperti yang diharapkan, suami tidak seperti dalam novel 'Suami aku Ustaz', suami tidak seperti Syeikh Abd Rahman Sudais, suami tidak seperti Rasulullah salallahualaihiwassalam atau persis dalam hadith-hadith Nabi.
Ramai berkata, ingatkan suami sebelum kahwin begini....rupanya begitu...Ada pula yang berkata dulu sebelum kahwin, atau ketika awal-awal kahwin dia tak macam ini....bla2.
Bagaimana hendak mengelak hal ini dari terjadi ?
Justeru apakah mesti setiap lelaki dan perempuan itu berpacaran, ber'couple', tinggal serumah lalu baru dapat menilai apakah wujud keserasian, kesesuaian dan kebolehan untuk tinggal bersama ? Setelah terbukti dan puas hati barulah berkahwin ?
Itulah yang barat lakukan. Bersekedudukan selama dua-tiga tahun, setelah rasa serasi barulah mereka membuat keputusan untuk berkahwin.
Dalam Islam tidak boleh begitu. Memandang lawan jantina sahaja pun sudah tidak boleh lalu bagaimana mahu mengenali apakah si 'Dia' itu sesuai atau tidak untuk menjadi pasangan kita ? Tempoh percubaan tidak wujud dalam agama ini.
Firman Allah SWT ;
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
“Dan janganlah kamu mendekati zina, kerana sesungguhnya zina itu adalah faahisah (perbuatan yang keji) dan seburuk-buruk jalan (yang ditempuh oleh seseorang)” [Al-Israa : 32]
Bagaimana mahu buat untuk mengelakkan diri dari rasa tertipu ? terpedaya, tertindas dan tersilap memilih pasangan ?
Aljawab,
Islam datang membawa wahyu dari Allah yang memberitahu bahawa hidup kamu wahai wanita bukanlah untuk menjadi puteri yang dilayan manja. Tetapi Islam datang membawa janji bahawa kiamat itu benar, mati itu pasti dan setiap amalan dan perbuatan kamu akan dihisab dan diberi balasan.
Justeru ;
1. Kita memang tidak akan tahu sebelum bernikah apakah suami, bakal suami, pasangan kita itu serasi, sesuai atau tidak dengan kita. Sebaliknya kita disuruh berdoa, bertawakal dan kemudian berusaha memperbaiki hidup dan rumahtangga kita dengan berpegang teguh kepada Al-Quran dan al-sunnah. Justeru, kalau dapat suami yang baik dan serasi maka 'Alhamdulillah' dan jika tidak maka bersabar dan redha lalu berusaha memperbaiki hubungan dan menjadi isteri solehah sehingga suami itu mati atau diganti oleh Allah.
Asiah, walau bersuamikan Firaun masih sahaja masuk ke syurga.
Isteri Nabi Luth walau bersuamikan Rasul masih sahaja ke neraka.
Suami cuma wasilah, bukan matlamat utama. Kahwin sahaja dengan sesiapapun asalkan dia beragama, secara zahirnya berpegang kepada Islam maka itu sudah memadai. Serahkan bakinya kepada Allah untuk mengatur kehidupan dan masa depan yang kamu tidak tahu.
2. Barat dan orang kafir, meletakkan kepercayaan kepada diri mereka sendiri dan usaha mereka. Sebab itu mereka jadi gila, minum arak, hisap dadah atau ambil pil anti-stress apabila keadaan diluar kawalan mereka. Mereka tidak ada tempat pergantungan dan terpaksa berusaha sendiri untuk cari bahagia yang tak kunjung tiba.
3. Tidak payah jadi 'detective', penyiasat yang menyiasat latar belakang lelaki sehingga keterlaluan kerana itu bukan jaminan walau ianya boleh dijadikan 'guideline' kerana manusia boleh berubah dalam sekelip mata.
4. Jangan terlalu banyak berangan dan mengadu konon suami tidak memahami perasaan isteri, tidak mengambil berat dan tidak pandai jaga hati isteri kerana itu bukan JANJI dari Allah bahawa kamu akan dapat apabila bernikah. Sebaliknya Allah menjanjikan 'peluang', 'ruang', 'medan' untuk kamu mendapat bahagia, rahmat dan keampunan jika kamu dapat memanfaatkan perkahwinan dan berusaha membina rumahtangga mengikut syariat Allah.
5. Jangan tertipu pandang kebahagiaan orang lain kerana boleh jadi apa yang kita pandang itu cuma ilusi yang memperdaya. Kita nampak luaran orang lain bahagia rupanya mereka lebih menderita dan terseksa dari kita. Justeru bersyukurlah kerana kita masih punyai suami sedangkan ramai gadis dan wanita diluar sana yang tidak ada lelaki.
6. Sebelum menyalahkan 'tidak serasi, tidak sesuai, tidak sehaluan, tiada persefahaman' lebih baik kita muhasabah diri apakah benar untuk rumahtangga bahagia itu harus sehaluan, sefahaman dan satu fikiran ?
- Allah izinkan lelaki beriman menikahi wanita ahli kitab. Maksudnya lelaki Muslim boleh menikahi wanita Kristian dan Yahudi yang masih berpegang kepada al-Kitab. Ini lagi tiada persefahaman dan tiada keserasian tetapi kenapa Allah izinkan nikah juga ?
Aljawab, keserasian itu dibina, dibentuk dan kebahagiaan itu diperolehi dari hasil usaha kerja keras, bukan dapat percuma atau pakej sekali dengan akad nikah. Ramai berharap apabila bernikah maka pakej 'serasi, bahagia, romantik, sehaluan itu terus dapat sekali. Apabila tidak dapat maka mereka tidak mahu susah-payah jadi pilih bercerai agar tidak perlu berusaha memperbaiki hubungan mereka.
7. Setiap wanita yang bernikah, dia layak bahagia cuma jalan dan ujiannya tidak sama. Ada yang susah, ada yang senang dan ada yang perlu berjuang. Justeru sebelum menyalahkan orang lain maka hendaklah kita muhasabah diri, apakah perpisahan itu hanya satu-satunya jalan untuk mendapat keredhaan Allah ? Atau ianya cuma demi mahu menutup kelemahan diri dan lari daripada masalah ?
وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ
“Janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan.” (Shaad : 26)
oleh ustaz Emran Ahmad
Tiada ulasan:
Catat Ulasan